Monday, October 19, 2009

Selangkah ke Alam Misteri...

Tidak seperti hujung-hujung minggu yang selalu aku lalui, sabtu lepas, pagi-pagi lagi aku sudah bersiap nak ke rumah aunty Esah aku di Klang. Nasib baik keadaan jalanraya tidak sesibuk kaum India yang beragama hindu merayakan festival cahaya yang jatuh pada hari tersebut. Aku terus memecut kereta merentasi Damansara kemudian ke Petaling Jaya sebelum melalui jalan pintas Kesas Highway untuk ke Sijangkang. Lebih kurang setengah jam sahaja kami tiba di sana. Seperti yang bapa aku janjikan minggu lepas, dia akan menunggu kami di sana, tetapi pagi itu dia terlebih dahulu menemani kawannya untuk berubat di tempat yang sama bakal ku bawa ibuku sebentar lagi…


Sabtu itu sangat berbeza kurasakan,…Dengan hati yang berat aku terus menuruti kereta uncle dan auntieku ke rumah tukang ubat yang diperkatakan itu. Kami bertiga ke sana bertujuan untuk mengubati derita sakit ibuku yang dihidapinya hampir 13 tahun lamanya…Sudah sekian lama ibu tidak sihat dan asyik mengadu kesakitan. Semakin hari semakin teruk jadinya. Makan pun tak lalu, dada dan sendi semuanya sakit-sakit, jalan pun tak larat mengalahkan nenek berusia 70 tahun. Ibu juga sering marah-marah, dan menjadi bengis ‘semacam’…tak seceria dulu lagi, habis semua anak cucu dimarahinya jika sengaja buat pasal. Kata orang, ada saka dalam badan ibu? Apa? betulkah saka itu yang menguasai seluruh pelusuk tubuh ibu? Akupun tak pasti. Tapi sehari sebelum kami hendak pergi berubat tu, macam-macam yang ibu mimpikan, “mimpi hantu” kata ibu, seorang yang mirip wanita bertudung menjelma separuh badan, turun naik bergantungan menggangu lena ibuku. bagaikan tanda yang ianya tidak mahu melepaskan ibu.


Sebenarnya memang aku tidak pernah percaya kepada benda-benda sebegitu. Ah! “Apa yang kau mahukan dari ibuku?”…Tolonglah pergi!, jangan kau ganggu hidup ibuku…sudah puas aku melihat derita yang ditanggungnya. Tak sanggup rasanya ianya terus-terusan begini. Cukup cukup lah tu. Aku sangat berharap agar usaha kami kali ini berhasil dengan bertemu Pakcik Nan si tukang ubat dari Kg. Delek Sungai Sireh itu. Dengan rahmat dan pertolongan dari Allah hanya satu pintaku. Kau sembuhkanlah penyakit ibuku.

Hampir 3 jam Pakcik Nan bertarung dengan makhluk-makhluk halus yang menghuni setiap inci tubuh ibuku, akhirnya 12 botol berjaya ditarik keluar. Namun aku tidak pasti berapa ekor jumlah sebenar kesemuanya yang sempat ditekup masuk kedalam botol-botol tersebut. Terkumat-kamit kulihat Pakcik Nan membacakan doa dan potongan ayat Al-Quran di setiap pintu masuk bagi makhluk-makhluk itu ke dalam badan manusia termasuk belakang tengkuk, ibu jari kaki dan tangan, dada, hidung dan juga di antara dua kening ibuku. Setelah selesai cara perubatan yang dipanggil “kasap” itu dan segala hantu-hantu telah di tangkapnya, tiba lah masa Pakcik Nan membuat proses “laser” yang hanya menggunakan tangannya ke seluruh tubuh badan ibuku. Setiap saat itulah, pasti peluh jantan Pakcik Nan terpercik keluar membasahi dahinya dan tercungap-cungap dibuatnya. Bisiknya, badan ibu dah teruk sangat, berkarat dan melekat. Kalau bawa ke hospital pun tak mungkin boleh baik, dan pasti badan ibu akan menjadi bahan ujikaji doktor saja.


Pada ketika ini, semua sendi-sendi ibu diurut dan dibetulkan, berkerut-kerut muka ibu menahan kesakitan. Memandangkan ramai orang disekeliling ibu, jeritan ibu hanya mampu didengari oleh dirinya sendiri sahaja. Tangan ibu yang tidak dapat diangkat mampu digerakkan melebihi 90 darjah, sendi kaki ibu yang selalu membuatkan ibu susah untuk solat, bangun dan berjalan sudah dibetulkan. Segala toksik di dalam tubuh ibu segera dibuang dan dibersihkan. Kawasan pinggang dan dada ibu yang paling teruk sakit juga di pulihkan sedikit demi sedikit. Selang beberapa minit selepas itu, wajah ibu berseri dan dengan tidak semena-mena ibu mampu mengukir senyuman. Ibu tidak lagi dalam penguasaan “mereka-meraka” yang tidak diperlukan itu. Badan ibu terasa ringan sekali dan perwatakan ibu terus bertukar sedikit ceria, tak macam selalu. Syukur alhamdulillah…Kalau dahulu, aku sudah cukup terbiasa melihat keadaan badan ibu semasa mengurutnya penuh dengan kesan cakaran, bintat-bintat dan juga lebam-lebam merah hitam...tapi kini aku bagaikan tidak percaya, sekelip mata semuanya sudah tiada lagi dari pandangan mata ini. Badan dan juga kaki ibu menjadi bersih sebersihnya seolah-olah tanpa pernah ada yang menyentuhnya.


Sekembalinya aku dari mengubati ibu, aku teringat pesan si tukang ubat agar botol-botol itu ditanam dan bukannya di buang ke sungai atau tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Lantas, sebelum aku kuburi botol-botol itu, sempat juga aku mendapatkan telefon bimbit dan cuba mengimbas setiap botol yang terisi makhluk-makhluk halus itu, kerana sebelum ini, Pakcik Nan pernah menunjukkan isi botol kepada bapaku semasa mengubati penyakitnya minggu sudah. Uncle aku juga sempat melihatnya. Rangka tengkorak serta makhluk hitam menyerupai beruang dan berbulu jelas terlihat di dalamnya. Mungkin jika nasib aku baik, aku akan bertemu dengan salah seekor daripada keturunannya. Namun segala usahaku tidak membuahkan hasil. Tanpa membuang masa, aku terus menuju ke belakang rumah dan mendapatkan cangkul untuk melakukan kerja-kerja terakhir sebelum sebarang kejadian menimpa sesiapa, lebih-lebih lagi anak buahku yang sememangnya lemah semangat kebetulan datang bercuti di rumah neneknya. Sehingga hari ini, proses menguburi botol-botol tersebut masih bermain dimindaku. Sukar untuk aku memadamlenyap dari ingatan ini. Di suatu sudut bawah sebatang pokok pisang berhampiran dengan rumah ustaz Mail telah ku langsaikan segalanya…

0 comments: